Tuesday, May 28, 2013

Pengat Keledek Ungu

Assalamualaikum....

Apa khabar? Ada ke lagi yang intai dapur akak ni...kot nanti akak bercakap sorang, salam tidak bersambut, ucapan tidak berbalas....uiisshh, nampak sangat dapur dah "hidup segan, subur jauh sekali" .. hehe.. Mohon maaf banyak-banyak andai pintu diketuk tidak berkuak, salam dihulur sunyi tidak berjawab... Apalah nak buat, rasanya kehidupan sekarang tercorak berlainan sekali.  Itu pilihan yang ada di tangan, pilihan ikut keutamaan, apapun akak bahagia di luar sini, tiada yang kurang tiada yang lebih...alhamdulillah.  Terlalu banyak nikmatNya untuk disyukuri.

Memasuki bulan Rejab yang mulia ini, ramai yang mula mepasakkan diri dengan berpuasa, beramal sedaya mungkin, merebut peluang yang terbuka.  Apapun, buatlah ikut sekadar mampu, biar sedikit asal berterusan, bukan banyak tetapi jarang-jarang.  Tidak perlu rasa bersalah pada diri sendiri kerana banyak amalan yang menjurus kepada kebajikan selain berpuasa sunat.  Berbuat baik dengan orang tua, bersedekah, memperbaiki diri dan jujur dalam bekerja dan berhubungan baik dengan silaturrahim yang sudah terjalin... Jika semuanya bersandarkan kepada niat dan hati yang bersih, kebaikan akan tercatat jua....insyaAllah.

Okeh laaa, panjang pulak celoteh...jom layan menu berbuka akak minggu lepas dah ni.  Dapat sedikit hasil dari tanah sekangkang kera, namun biar sedikit, hasilnya sudah acap kali, ada juga adik beradik yang merasa dan orang luar yang diundang bersama.  Alhamdulillah.  Tanah berpasir yang ditabur untuk projek menanam rumput hari tu memang elok sangat untuk bertanam keledek.  Itu kata emak, sesuai tanah begitu, keledek pun keluar bersih jer dari tanah.  So layan dulu Pengat Keledek Ungu yang sangat mendamba jiwa kalernya....akak suka, rasanya pun sedang2 elok tuanya, macam keladi pun ada...hehe.  Jemput semua...

PENGAT KELEDEK UNGU
Resepi:  Ummi @ Home Sweet Home

Bahan (anggaran sahaja):-
  • 500 gm. keledek ungu 
  • 1 1/2 cawan gula pasir (atau secukupnya)
  • 2 cawan santan cair
  • 1 cawan santan pekat (akak adjust guna santan kotak Kara)
  • secubit garam
  • 2 helai daun pandan - disimpul
  • 2 sudu besar sagu biji - dibasuh/lalukan di bawah air.  (biar 10 minit)
  • air secukupnya untuk merebus keledek
Cara-Cara:-
  1. Kupas keledek dan potong dadu kecil atau ikut suka besarnya.  Basuh dan rebus hingga lembut (tapi jgn sampai lembik).  Toskan (buang airnya agar pengat tidak terlalu hitam nanti).
  2. Dalam periuk, masakkan gula, daun pandan dan santan cair dahulu hingga gula larut.
  3. Masukkan keledek yang telah direbus tadi, masak sebentar hingga sedikit mendidih.
  4. Masukkan santan pekat, garam dan sagu biji.  Kacau sesekali dan masak sehingga sagu jernih dan kuah pengat agak pekat.
  5. Tutup api dan sedia untuk dihidang sejuk atau panas.
Ha, camne?? Boleh jual tak....keledek, keledek, sapa nak beli keledek...keledek sedap, muda belia, enak sekali....hehehe... Hasil pertama kali buat semasa jamu kat family adik dan isterinya bawa sorang kawan dia datang ke rumah, buat lawatan ke dapur akak seminggu sebelum tu...hehehe... Yang akak buat ni, kira baki sikit lagi, round kedua pulak..cukuplah untuk bertiga beranak...

Memang x puas makan pengat keledek ungu ni, rasanya mmg ala-ala keladi la pulak mengkalnya dan liutnya....besssttt sesangat.... ^___^

Monday, May 20, 2013

Rendang Ayam Basah CMG

Assalamualaikum...salam sejahtera...

Terima kasih kepada yang masih sudi menjenguk dapur akak ni...alahaii tuan dapur dah rasa tak sempat-sempat je memanjang.  Banyak sangat perkara yang perlu didahulukan, kadang-kadang teringat nak update tak sempat pulak...kadang-kadang sempat kot tp tuan dapur macam malas pulak... Emm begitulah adat berlawanan yang ada pada sifat dan diri seorang insan.  Apapun kuasa berusaha masih ada di tangan, selebihnya Dia penentu segala, kita pasrah dan redha sahaja laa...insyaAllah.

Ok la berbalik kepada entry ini, petang tadi akak post kat wall, hahaha...ramai pulak yang bagitau leleh2 segala... Akak lagi laaa, meleleh duk kat dapur memasak rendang dan mengukus pulut bagai ni.  Ingat hati nak posting entry lain dulu yang banyak gak tertunda tu, tp bagi laluan rendang la dulu sebab ada yang bertanya2 resepinya.  Resepi pemuda dapur maya...sapa lagi, kalau bukan Mat Gebu yang kuat sangat mengusik akak taaauu...adeeiii, kadang2 nak gelak golek2 dibuatnya....


Sebenarnya bercadang nak masak ni minggu lepas lagi, tapi dek kerana banyak hal dan masa tunggang langgang berkejar ke sana sini, sampai ke Arau sana bz nya akak ni ha, hehehee...so akak buatkanlah, untuk anakanda Aiman...selain mengucap syukur kerana impian dia, hajat dia tu....biarlah Allah sahaja yang mengetahui...

Terima kasih Mat kerana berkongsi baru-baru ni dan mencairkan tekak akak ko buat taauuu...Walaupun xda rempah rendang dalam stok, akak dah adjust dengan rempah kari daging + sedikit rempah kurma...alhamdulillah, sedap jer pada anak tekak kami anak beranak....Izin copy paste ya Mat...

RENDANG AYAM BASAH
Resepi Asal:  Mat Gebu
Diolah uji :  Ummi @ Home Sweet Home


BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam (kurang lebih 1.3 kg), potong pada saiz sederhana, cuci bersih dan toskan
4 camca besar rempah rendang Baba's (akak guna rempah kari daging + 1 sudu besar rempah kurma)
3 cawan pati santan (akak guna santan kotak Kara jer...hehe)
2 keping asam gelugor
4 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, mayang halus
1 camca besar penuh gula melaka
3 camca besar kerisik
3 camca besar cili kisar (nak pedas boleh tambah lagi)
1 kiub ayam (optinal)
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
15 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1 1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
4 biji buah keras
6 batang serai, hiris halus

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 kuntum bunga lawang
1 batang kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh rempah rendang dengan bahan2 kisar halus, kacau hingga menjadi pes, ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahant tumis dan tumis hingga harum, tambah cili kisat dan tumis hingga cili garing. Masukkan pes rempah, kacau dan biar hingga pecah minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam berubah warna. Tuang santan, kacau dan tambaj kiub pati ayam. Biar mendidih perlahan sambil dikacau sekali sekala. Masukkan kerisik, asam gelugor dan juga sedikit garam. Kacau rata.
  3. Bila pekat, tambah daun limau purut dan gula melaka, kacau. Masak dengan api kecil hingga rendang jadi pekat dan tidak terlalu berkuah. Masukkan daun kunyit yang dimayang halus, kacau dan rasa, jika kurang masin, tambah sedikit garam. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan..

Hidangan makan malam merangkap bekalan Aiman esok pagi....boleh jugak nak buat bersahur kan...hehehehe... Ha, tengok rendang ni, basah tak Mat, ke dah lembab jer...x kesah laaaa, tp mmg marbeless...!  Air tangan Mat Gebu tak pernah mengecewakan kan...sapa setuju?? Nganga molot, akak suapkan...hehe

Biasalah, mesti makan dengan pulut kuning kan...baru terangkat..!  Resepi pulut xyah la eh, banyak dah akak post, cuba search eh... ^__^

Monday, May 13, 2013

Rahsia dan Tips Ada Di Tangan Yang Pakar!

Assalamualaikum warahmatullah....apa khabar?  Salam Rejab yang mulia, bulan Allah yang penuh barakah dan pahala kepada yang mahu mencari dan mendapatkannya....semoga kita semua dipanjangkan umur untuk melaluinya sehingga ke bulan Ramadhan jua hendaknya...Ameen.. Bersyukur kerana masih diberi ruang dan kesempatan biarpun tidak semeriah dahulu, namun perkongsian harus diteruskan andai terdaya.  Itulah yang sebaiknya kan...

Ha, kenapa pulak gambar bapa hensem ni ada kat sini eh....Siapa yang tak kenal dia kan.  CHEF AMER, menyebut namanya sudah tentu terbayang coklat, coklat, coklat kaaann...maklum Sifu/Chef Coklat atau lebih commersial lagi disebut sebagai Chocolate Connoiseur..! Salah seorang dari 9 Chef ternama di Malaysia.  Seorang Chef yang tidak jemu-jemu berkongsi dan berkongsi bermula dari coklat terangkai ke dalam pelbagai kek, biskut dan tak ketinggalan handal dalam masakan barat, nasi dan lauk-pauk jua.  Bukan memuji tetapi kagum dengan sentuhan dan kelas yang dikendalikan...tidak jemu langsung, pelawak sungguh Chef ni taaauu...


Alhamdulillah, baru-baru ini pada 4 Mei 2013 sekali lagi akak telah dijemput Chef ke Bengkel Sehari Berinspirasi Bersama Chef Amer untuk bersama dengan 15 orang pemenang-pemenang peraduan Chef di dalam majalah SAJI dan ianya ditaja bersama oleh Utusan Karya dan Le Bourne jenama coklat ternama.   Permulaannya, masa dan ruang seperti tidak mengizinkan akak untuk hadir sama memandangkan anak-anak semua akan balik mengundi, tetapi janji Allah siapalah yang tahu, sementelah suami juga begitu sporting dan understanding untuk mengiringi isteri tersayang (*chewaahhh..), memikirkan juga ilmu yang bakal terhidang yang mana bagi akak hanya perlu peruntukan masa dan perjalanan sahaja ke sini, maka dengan takdirNya, sampailah juga akak ke Akademi Chef Amer.
Benarlah kata bidalan, jika menuntut ilmu biarlah kena pada tempatnya dan orangnya.  Bila belajar dengan yang pakar, habis segala tips, panduan dan misteri didedah, diselongkar, dikongsi.  Tidak sama memandang resepi dengan menghadiri kelas sebegini.  Terlalu banyak teknik pembuatan yang membuatkan kita ternganga, eeemm begituuu...emmm begini....pastu mulut tersebut "patut laaa"..  Sejak pertama kali menghadiri kelas Chef di Kuantan tempohari, pelawaan Chef bagaikan pucuk dicita ulam terhidang...hehehee... 

Menghadiri kelas Chef Amer, anda akan disogokkan dengan pelbagai demo dan hands-on yang amat mengujakan.  Teknik dan rahsia terpacul satu persatu dari mulut Chef, anda tanyalah apa sahaja, dalam lawak jenaka yang tidak pernah lekang dan deraian ketawa, anda akan dapat jawapannya.  Kelas sehari terasa begitu cepat berlalu ke petang.

Suasana kelas memang sungguh selesa :  berhawa dingin, nota resepi yang disediakan  dalam warna warni, dan bagi kelas kali ini apron disediakan dengan nama kami semua tersulam...terima kasih Chef...  Selain itu, kemudahan bilik solat dan bilik rehat di tingkat atas juga disediakan Anda hanya perlu datang dan menyiapkan diri untuk menerima ilmu.  

Intro Chef mmg menarik tentang pembabitannya selama 21 tahun dalam dunia coklat dan anda akan tahu betapa tingginya ilmu Chef yang pernah mengkaji tentang pembuatan coklat dan teknik menghasilkan pelbagai jenis kek, biskut yang menggunakan coklat.  Beliau merupakan Duta Le Bourne, jenama coklat yang memang diakui sangat sedap dan anda hanya mampu tersenyum membiarkan coklat cair di dalam mulut....  

 Di dalam kelas, anda akan ditunjukkan dengan segala jenis bahan dan anda dapat mengenali, memegang, menghidu dan merasanya dengan tangan dan lidah.  Tidak cukup dengan itu,

Chef akan lakarkan, agar anda faham dan tahu apa yang sedang dilakukan...

 Skrin tv besar juga disediakan untuk memudahkan kelas, tak perlu lah nak terjenguk-jenguk...boleh duduk dan ikuti kelas dengan kusyuk.

 Dan ini adalah hasilnya....sama-sama buat dan siapkan...dan hasilnya, indah sekali.  Chef siap berikan bunga-bunga utnuk diikat dengan coklat-coklat yang telah disiapkan...cantik kaaann...!
 Pelajar akan dibahagikan kepada kumpulan yang dibentuk sendiri oleh pelajar dan bahan-bahan peralatan adalah disediakan sepenuhnya.  Dan yang paling best, makan tengahari siapa yang masak.....Chef laa yang masak...best sungguh! Air tangan Chef meleleh2 masuk dalam tekak, tu pasal la sedap...hahaha
Hidangan tengahari bukan sempoi-sempoi punya... Seperti biasa, hidangan tengahari akan dimasak sendiri oleh Chef, (*psst...kalau nak request menu pun boleh Chef kata...kan Chef kan...hehe).  Hari tersebut Chef masak Asam Pedas Kari Ikan Merah (meletoppssss...sedapnyaaa), puyuh goreng berempah, sotong bakar cili, sayur, telor masin, sambal belacan limau dan dessert sekali...Adoooii kenyang Chef, nasib akak tak ngantuksss sesi petang...

 Makan time....

Macam biasalah Chef, kalau suruh posing, lagak ngeri siap dia bagi....sporting habis...!!  4 resepi baru telah di"hadam" pada hari itu.... MasyaAllah, Tabarakallah... Chef ni kalau mengadun, siap baca doa untuk resepi yang bakal dibuat dan doa untuk semua yang berada di dalam kelas, Barakallah...

Bagi sesiapa yang mengikuti Bengkel di Akademi Chef Amer, sudah tentulah diberikan Sijil oleh Akademi sendiri dan yang penting, ilmu yang ditimba, dan anda berbayarpun tentunya lah ia sebagai pelaburan atau "ibu duit".  Keyakinan telah diperolehi juga, tinggal lagi untuk melaksanakannya....insyaAllah.


 3 bloggers jemputan tak lepas peluang bergambar....lupa nak tarik Chef hari tu kan Kak Wan & Azlita kan....bz kemaiin... dan yang paling kelakar, akak tertinggal beg sumbangan/cenderahati dari Le Bourne dan SAJI (Utusan Karya) serta ADABI...Terima kasih kepada semua yang menyumbangkan cenderahati...adeeeiii gara-gara banyak angkut makanan yg dibuat hari tu... Terima kasih Chef sudi bawakan nnt....hehe



Kepada yang berminat untuk memulakan bisnes atau mendalami lagi dunia masakan, bolehlah menghubungi Akademi Chef Amer sendiri di talian 019-2776996 atau email kepada chefamer@gmail.com yeaa.  Sesuatu yang menarik dan menguntungkan menanti anda, pastinya..!  Akademi Chef Amer terletak di Lorong Raja Nong 1A, Off Jalan Raja Nong, Klang.  Berhampiran dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Jusco Bukit Tinggi.  Jika tersesat, silalah jangan malu-malu hubungi talian Chef, beliau sangat membantu.. 

Akhir sekali, terima kasih daun keladi kepada Chef kerana sudi menjemput kami sama-sama buat kecoh dengan pembaca2 SAJI... ^___^, Bukan Memuji, Tetapi Kagum dengan kepakaran.  Semoga Chef sentiasa diberikan rezeki yang melimpah dan dikurniakan kesihatan yang sihat walafiat untuk terus menyampaikan ilmu dan berkongsi.  Jazakallah!  

Friday, May 3, 2013

Snow Cheese Cake

Assalamualaikum...Juma'ah Mubarak!

Semoga hari ini membawa seribu kebaikan buat kita semua dalam apa sahaja aktiviti dan rencana yang dilakukan...rahmat Allah sentiasa melimpahi hambaNya yang tidak putus-putus berdoa dan mengharap kasih sayangnya...insyaAllah.  Jangan kita pernah berputus asa hendaknya, jangan kita berhenti bersabar, jangan kita berhenti berusaha dan bertawakkal... Ujian kesenangan ada nikmatnya, ujian keperitan juga lebih-lebih lagi nikmatnya jika semakin sentiasa bersyukur dan dekat denganNya...

Baiklah, berbalik kepada kek yang dah lama pun di kalangan blogger mencuba dan dah ada ramai yang telah menjadikannya perniagaan sampingan ataupun utama.  Semalam masa akak hulurkan kek ini di FB, ramai juga yang minta share resepinya, rupanya masih ada yang belum sempat ataupun ketinggalan macam akak ni...baru sempat nak cuba.. Kek ni meletopss semasa ketiadaan akak di Malaysia hari tu rasanya, masa baru-baru merebak tu, akak mmg tak sempat nak cuba lantaran sibuk sangat la kot...hehe. 

Cuti Hari Pekerja baru ni akak pun menggodek lah kek ni setelah siap buat pengat keledek.  Membuatnya juga tidak lah susah, berbaloi apabila kek ni mula masuk ke tekak dan rasanya mencecah lidah....eeeemmmm...yummmy...owh begini rasanyaaaa....terus lupa kepada keseraman kepada lemak-lemak cheese....aarghhh biarkan je laah, ini antara kek yang sedap sangat selain kek coklat kata Aiman.  Dia jarang suka kek2 plain camni selain kek coklat.  Hb juga kata, boleh terima dengan citarasanya... alhamdulillah.  Abanglong tengok dekat wall, dah siap chuup daaahh...sempat dia balik malam ni...insyaAllah.

Okeh, pertamanya nak ucapkan terima kasih kepada Kak Zai yang berkongsi resepi ini dan sumbernya akak dapat dari blog Rahel.  Sempat jugak PM kat Rahel tanya tentang kek ni....terima kasih keduanya, muuaahh!... Akak copy paste dari Rahel la yeaa.... 

Snow Cheese Cake
Sumber :K.Zai & Rahel

Bahan: (Akak guna loyang bulat 8 in)
  • 6 biji telur ayam (buang 2 putihnya) (akak guna gred B)
  • 100g gula halus
  • 100g tepung hong kong (blue key,super fine boleh juga)
  • 60g tepung jagung (maizena)
  • 50g air sejuk (dari peti sejuk)
  • 1 sudu teh baking powder
  • 2 sudu makan ovalet
  • 75g mentega (dicairkan)
Untuk krim:
  • 1 kotak cream cheese philadelphia (250 gm)
  • 1/2 tin susu pekat manis ->> K.Zai letak 1 cawan 
 (satukan kedua bahan & putar sehinggatidak berketul-ketul).

Untuk Toping:
  • 1/2 kotak kraft cheddar cheese (parutkan)
Cara:
  1. Masukkan semua bahan-bahan kecuali mentega cair dan putar.
  2. Putar dengan kelajuan sederhana sehingga pekat & putih.Akhir sekali masukkan mentega cair. Putar lagi sehingga sebati dan pekat.
  3. Sediakan acuan yang telah dialas dengan kertas minyak atau yang disapu dengan sedikit butter.
  4. Bakar dalam acuan dengan menggunakan api atas dan bawah selama 45 minit ke 1 jam dengan kepanasan 150'C.
  5. Bila sudah masak biarkan sejuk.  Bila dah sejuk, ambil pisau kek dan potong di tengah2 kek supaya menjadi dua bahagian.
  6. Sapukan cream cheese di atas separuh kek tadi,kemudian letakkan sebahagian lagi kek di atasnya.
  7. Sapukan lebihan krim cheese sehingga menutupi seluruh kek.
  8. Akhir sekali taburkan cheese kraf yang telah diparut tadi ke seluruh kek sebagai toppingnya.
  9. Masukkan dalam peti ais dalam 1-2 jam. Lepas tu baru potong.
Tips akak:-
  • Mencairkan mentega, jangan sampai warnanya kejernihan, cukup setakat mentega cair sahaja.  Jika tidak kek akan sedikit berminyak. 
  • Panaskan dulu oven lebihkurang 10 minit sebelum bakar kek.
  • Akak telungkupkan loyang kek sebaik sahaja dikeluarkan dari oven dan biarkan kek sejuk.
  • Letak loyang kek pada rak paling bawah dalam oven, tetapi kedudukannya di tengah-tengah.
  • Buang (potong rata) bahagian atas kek supaya kerja sapuan lebih senang kerana permukaannya sgt lembut (leroii).
  • Cheese yang telah dipukul, akak masukkan sekejap dalam fridge lebihkurang 10 minit sebelum disapu di sekeliling kek.
 SELAMAT MENCUBA...!